Monday, March 18, 2013

Pertolongan cemas (Bahagian 1)


Pertolongan cemas ialah bantuan segera atau rawatan kecemasan yang diberikan untuk orang yang tercedera sebelum mendapatkan bantuan atau perawat yang bertauliah. Ia biasanya terdiri dari satu siri teknik yang boleh dilakukan, walaupun tanpa latihan perubatan, oleh hampir semua orang dengan peralatan yang minimum. 



Objektif

  • Untuk menyelamatkan nyawa: Jika mangsa pengsan, pastikan laluan udara selesa dan pastikan mangsa bernafas. Sekiranya berlaku pendarahan, hentikan pendarahan secepat mungkin. Rawat kecederaan dengan betul dan kenali latar belakang mangsa (sejarah kesihatan seperti diabetes dan lain lagi) yang perlu perhatian istimewa.
  • Untuk mencegah luka menjadi lebih teruk: Alih mangsa dari tempat bahaya dan jangan buat mangsa banyak bergerak. Selesakan dan beri keyakinan pada mangsa serta beri perlindungan dari ketidak selesaan seperti kesejukan atau kepanasan atau keadaan yang basah.
  • Mendapat bantuan perubatan: Arah atau pinta rakan-rakan mengambil peti keselamatan berhampiran dan memanggil ambulans atau perawat bertauliah dengan sesegera mungkin. Pastikan menunggu bersama mangsa sehingga bantuan sampai.

Langkah Peringatan


Sebelum memberikan sebarang pertolongan cemas , sila pastikan keadaan sekeliling adalah selamat untuk anda. Hal ini bermaksud dalam proses memberi bantuan itu, keselamatan diri anda tidak terancam. Amalkan slogan "keselamatan diutamakan". Hal ini kerana kita tidak mahu menyebabkan diri anda tercedera dalam proses bantuan itu.


Contoh-contoh Keadaan serta Langkah-langkah Bantuan yang diberikan

Luka atau pendarahan

Luka yang kecil tidak memerlukan anda pergi ke hospital namun anda perlu mengelakkan luka tersebut daripada jangkitan kuman. Ikut langkah di bawah untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

  1. Hentikan pendarahan : Luka kecil selalunya akan berhenti sendiri. Sekiranya pendarahan itu tidak berhenti,  berikan tekanan pada luka tersebut dengan kain atau pembalut yang bersih selama 20- 30 minit. Sekiranya boleh tinggikan aras pendarahan tersebut daripada aras jantung. Sekiranya pendarahan tidak berhenti lagi  hantar mangsa segera ke hospital.
  2. Bersihkan kawasan luka : Bersihkan kawasan luka dengan air yang bersih jangan gunakan sabun kerana sabun boleh menambah kesakitan pada kawasan luka. Bersihkan kawasan luka itu sehingga tiada kesan kotoran serta bahan asing. Sekiranya terdapat bahan asing seperti kaca jangan dibuang kaca itu sendiri, dapatkan bantuan pakar.
  3. Sapukan antiseptic : Sapukan cecair antiseptic di kawasan luka sekiranya ada. Sebaiknya gunakan bahan yang tidak memedihkan seperti iodine, elakkan menggunakan antiseptik seperti alkohol dan dettol.
  4. Balut luka : Balut luka tersebut dengan pembalut yang bersih, jangan terlalu ketat dan terlalu longgar
Pendarahan Hidung 

Pendarahan hidung merupakan keadaan yang biasa. Selalunya tidak merbahaya walaubagaimanapun ada beberapa kes pendarahan hidung disebabkan oleh kes yang perlu dirawat.

Langkah-langkah bantuan :

  1. Duduk tegak dan tundukkan kepala kehadapan. Jangan angkat kepala kerana perbuatan ini boleh menyebabkan darah itu masuk ke dalam mulut dan menyebabkan anda tertelan darah tersebut. Seterusnya boleh menganggu perut anda.
  2. Picit hidung anda untuk memberhentikan pendarahan untuk selama 5-10 minit. Bernafas melalui mulut.
  3. Elakkan pendarahan berulang selepas pendarahan berhenti dengan mengelakkan daripada memasukkan jari kedalam rongga hidung.
Dapatkan bantuan daripada pakar sekiranya :

  1. Pendarahan tidak berhenti selepas 20 minit
  2. Pendarahan disebabkan kecederaan seperti jatuh, kemalangan mahupun terkena tumbukan.
Melecur/Terbakar

Untuk memberi bantuan kepada mangsa yang mempunyai kesan melecur akibat terbakar di badan. Anda perlu mengetahui tahap Melecur mangsa tersebut.

Tahap yang Ringan 

Tahap pertama 

Biasanya tahap pertama hanya pada bahagian luar kulit.

  1. Kulitnya berwarna kemerah-merahan
  2. Berlakunya pembengkakan
  3. Selalunya mangsa merasa kesakitan di kawasan itu.
Tahap kedua

Tahap kedua kulit terbakar sehingga kawasan  yang dipanggil dermis.

  1. Wujudnya kesan lepuh (blister)
  2. Kulit nampak sangat merah
  3. Kesakitan yang teramat serta pembengkakan
Tahap yang Serius

Tahap ketiga

Kawasan yang terbakar teruk sehingga ke kawasan otot dan tulang. Berwarna hitam arang (hangus)





Langkah-langkah bantuan

Tahap ringan

  1. Sejukkan kawasan yang melecur atau terbakar dengan air. Alirkan air yang bersih berterusan di kawasan yang terbakar. Jangan gunakan air batu atau cecair lain seperti ubat gigi, mentega dan lain-lain
  2. Balut kawasan tersebut dengan pembalut yang bersih
  3. Dapatkan bantuan daripada pakar.
Tahap serius

  1. Dapatkan bantuan kecemasan melalui talian kecemasan
  2. Jangan tanggalkan pakaian mangsa di kawasan yang terbakar
  3. Jangan alirkan air
  4. Periksa nadi dan pernafasan. Sekiranya tiada berikan bantuan CPR (akan diterangkan di bahagian seterusnya kerana CPR memerlukan latihan dan penerangan yang lanjut)
  5. Tutup kawasan terbakar dengan  kain yang bersih.

Sekian sahaja untuk kali ini, dengan izin Allah, saya akan mengulas lebih lanjut mengenai pertolongan cemas seperti topik CPR, tulang patah dan lain-lain lagi dengan lebih mendalam. Hal ini kerana topik-topik sedemikian memerlukan penerangan yang teliti. Mohon maaf sekiranya ada kesilapan. Sekiranya ada sebarang kesalahan  atau pertanyaan diharap dapat terus hubungi kami.

Sekian Terima Kasih.

We Learn, We Share, We Care